LANGKAWI, 20 Mei – Keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan aset ketenteraan berkualiti setanding luar negara dibuktikan menerusi pelancaran Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV) pertama negara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
HMLTV yang diberi nama RIBAT, merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies (MILDEF).
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri sendiri dalam satu majlis di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi hari ini.
Menurut Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa, penghasilan RIBAT menjadi penanda aras baharu dalam pencapaian teknologi pertahanan negara.
“Selepas 60 tahun merdeka, masyarakat semakin sedar bahawa kita tidak perlu lagi bergantung kepada pihak ketiga. Teknologi tempatan kini mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi yang setanding antarabangsa dan boleh digunakan dalam serta luar negara,” katanya kepada media.
RIBAT mencerminkan aspirasi Malaysia untuk berdiri setara dengan negara lain dalam bidang pertahanan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada import teknologi luar.