IPOH, 5 November - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin membimbangkan dalam sistem pendidikan negara.
Titah baginda sekolah yang sepatutnya menjadi insitusi paling selamat untuk anak-anak kini terdedah kepada pelbagai ancaman seperti buli, keganasan dan jenayah pelajar bawah umur.
Baginda turut menegaskan situasi itu menggambarkan kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan akibat terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik dan angka semata-mata.
“Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan. Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak. Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk menyalahkan kepimpinan semasa.
"Secara jujur dan ikhlas, kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan dan bersungguh-sungguh,” titah baginda demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Baginda turut menegur sikap segelintir pihak yang enggan mengakui kelemahan, bersikap ego dan tidak berani menerima teguran hingga menyebabkan nilai kemanusiaan semakin terhakis.
Sultan Nazrin menegaskan, keberanian untuk melakukan pembetulan perlu digerakkan segera agar sistem pendidikan kembali kepada asas sebenar iaitu membina akhlak dan jati diri pelajar.