TUMPAT, 31 Ogos – Persatuan Pemanjat Pokok Negeri Kelantan tampil dengan kelainan apabila menganjurkan sambutan ambang Merdeka ke-68 di atas pokok di Pulau Teluk Renjuna, di sini malam tadi.
Presidennya, Wan Muhammad Wan Daud berkata program itu bukan sahaja menampilkan aktiviti memanjat pokok pada waktu malam, malah turut diserikan dengan sesi tazkirah serta sembang santai yang turut diadakan di atas pokok.
Menurutnya, penganjuran tersebut membawa mesej simbolik bagi mengimbau kembali detik kebersamaan dan mengenang perjuangan tokoh terdahulu, selain menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini.
Program bukan sahaja menampilkan aktiviti memanjat pokok pada waktu malam, malah turut diserikan dengan sesi tazkirah serta sembang santai yang turut diadakan di atas pokok / Foto Bernama
“Malam ini kita berjaya menjayakan satu kelainan dengan mengadakan tazkirah bersama Ustaz Najib Saghiri dan sembang santai di atas pokok. Sempena kemerdekaan ini, kita mengimbau sejarah perjuangan para pejuang serta menzahirkan rasa syukur kerana negara kita bebas merdeka. Kita juga berterima kasih kepada semua pejuang tanah air,” katanya ketika ditemui selepas Program Sambutan Hari Kemerdekaan Atas Pokok di Kampung Pulau Teluk Renjuna, di sini.
Sementara itu, seorang peserta, Siti Hawa Yahya, menyifatkan program berkenaan sebagai pengalaman yang unik kerana berbeza daripada sambutan kebiasaan.
“Selalunya sambutan kemerdekaan diadakan di stadium atau bandar, tetapi malam ini saya rasa sangat unik kerana pertama kali menyambut Merdeka dengan memanjat pokok, mendengar ceramah dan bersama keluarga. Ia satu kelainan yang bagus untuk semua,” katanya.
Seorang lagi peserta, Puteri Nur Aisyah Mohd Rizal, pula meluahkan rasa teruja kerana pengalaman itu berbeza daripada sebelumnya.
“Sebelum ini ayah bawa saya pusing sekitar Kuala Lumpur pada malam Merdeka, tetapi kali ini saya panjat pokok pada waktu malam. Perasaan saya sangat teruja, gembira dan seronok kerana dapat merasai pengalaman berbeza,” katanya.
Program tersebut menarik penyertaan lebih 70 peserta yang mengambil kesempatan memanjat pokok setinggi 25 meter bagi meraikan sambutan kemerdekaan.