PUTRAJAYA, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya di sini hari ini disifatkan luar biasa dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mencerminkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, acara tahun ini begitu istimewa dan berjaya menampilkan kesatuan rakyat.
"Selamat Hari Kebangsaan. Semoga perpaduan semua rakyat Malaysia terus diperkukuhkan dengan mengetepikan perbezaan di antara kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat acara sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut memuji persembahan yang dipamerkan semua peserta yang menggambarkan semangat kebersamaan.
"Apa yang paling penting adalah kita kekal bersatu untuk memastikan Malaysia terus makmur demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Terdahulu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan menyusuri Dataran Putrajaya untuk bertemu dengan peserta dan orang ramai.