PUTRAJAYA, 31 Ogos – Suasana di Dataran Putrajaya di sini gamat dengan sorakan lebih 100,000 pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Seawal pukul 6.00 pagi lagi, kawasan sekitar sudah mula dipenuhi orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perarakan penuh warna-warni yang menjadi simbol perpaduan negara.
Pengunjung dari Johor Bahru Danial Abdul Murad berkata, dia sudah berada di Dataran Putrajaya sejak awal pagi untuk memastikan tempat terbaik bagi menyaksikan perarakan itu.
"Saya dari Johor Bahru dan sampai di sini pukul 2.00 pagi lagi, dan saya menginap dekat sini berdekatan dengan kawasan masjid.
"Saya sangat gembira sebab dapat bawa anak saya untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan," katanya.
Tidak hanya dihadiri pengunjung tempatan, sambutan kali ini turut menarik perhatian pelancong dari Switzerland, Louis Schmelter yang mengetahui tentang acara itu menerusi media sosial.
"Sungguh menakjubkan bagaimana anda semua boleh hidup bersama dengan begitu harmoni seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain, dan saya tidak pernah melihat tempat seperti ini sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Mohanad Alammari bersama rakannya Abdul Rahman Alawash dari Yaman, menyifatkan pengalaman menyertai orang ramai di Putrajaya memberi makna tersendiri buat mereka.
"Saya sebenarnya ingin berkongsi hari istimewa rakyat Malaysia ini. Kegembiraan dapat disaksikan di mana-mana. Ini merupakan hari yang begitu indah, penuh dengan kegembiraan dan suasana meriah, jadi saya juga mahu merakam detik istimewa ini," katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini bukan sekadar medan memperingat pejuang kemerdekaan, malah ia cerminan semangat perpaduan yang terus mekar dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping mempromosikan citra negara kepada dunia.