KUALA LUMPUR, 30 November- Penyertaan Malaysia dalam Persidangan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan COP 28, memberi ruang negara mempromosi dasar hijau negara.
Usaha itu temasuk memperkenal agenda karbon sifar bersih 2050 selain Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pengarah Majlis Industri Tenaga (EIC) Rantau Asia Pasifik, Azman Nasir berpandangan bahawa masih banyak peluang pelaburan baharu berpotensi boleh dibangunkan, umpamanya dalam bidang perdagangan karbon dan bahan api bio.
"Bidang hidrogen dan bidang perangkap karbon sudah pun dilakukan, terutamanya di Sarawak. Keduanya mempunyai potensi besar. SAF (Sustainable Aviation Fuels) pun adalah satu bidang yang perlu diceburi secara lebih meluas.
Permintaannya banyak tetapi bekalannya sedikit. Mana-mana usahawan boleh cuba bidang berkenaan untuk tujuan perniagaan," kata Azman kepada pemberita dalam sidang media di ibu negara.
Perhimpunan tahunan COP 28 bermula hari ini hingga 12 Disember di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).