PUTRAJAYA, 15 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan undang-undang sedia ada adalah mencukupi untuk menjalankan siasatan berhubung nahas yang melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak.
Menurut beliau, siasatan terhadap pemilik lori akan dijalankan bawah peruntukan sedia ada termasuk melalui PUSPAKOM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut Akta Pengangkutan Jalan.
“Siasatan terhadap pemilik syarikat atau kenderaan akan dilaksanakan melalui PUSPAKOM, mengikut bidang kuasa bawah Akta Jalan Raya. Kita serahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.
"Saya juga dapati ramai netizen termasuk pemimpin NGO berpendapat bahawa tanggungjawab sewajarnya turut diletakkan ke atas pemilik kenderaan dan syarikat terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada kerajaan bercadang meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan pemilik kenderaan yang menyebabkan kemalangan dikenakan tindakan secara langsung.