fb fb fb fb fb

Dialog membina dan hormat antara tamadun, perlu diperkukuh

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto PMO

MOSCOW, 15 Mei- Dialog yang membina dan penuh hormat antara tamadun perlu diperkukuh.

Saranan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa interaksi sedemikian perlu diasaskan kepada pengiktirafan bersama terhadap maruah, kekuatan dan kepelbagaian budaya.

Pemeliharaan nilai keadilan, belas ihsan dan kehidupan bersama amat penting dalam menghadapi cabaran era pasca-normal dan kekal menjadi asas utama dalam menegakkan nilai sejagat yang menyumbang kepada keamanan serta kestabilan global.

"Dialog ini mesti bersifat pelbagai hala antara tamadun, bukan satu budaya menghapuskan budaya atau perbezaan yang lain tetapi tentang saling mengiktiraf kekuatan masing-masing.

"Sebab itu saya sering tegaskan bahawa dalam era pasca-normal ini, kita sering mengabaikan nilai-nilai penting kemanusiaan, keadilan dan rasa hormat.

"Lihat sahaja isu-isu dunia pada hari ini … betapa dahsyatnya kemusnahan di Gaza. Dan sebagai contoh, perdebatan, bagaimana dunia menangani isu Ukraine dan bagaimana ia menangani isu Gaza … percanggahan ini amat tidak boleh diterima.

"Bagaimana dua orang terbunuh di Ukraine dianggap satu bencana, tetapi 40,000 yang terbunuh di Gaza hanya dianggap satu kesilapan? Percanggahan seperti ini mesti dihentikan,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam syarahan awam bertajuk “ASEAN dalam Dunia Multipolar: Perspektif Malaysia” yang disampaikan di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), hari ini.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID