SERDANG, 15 Mei- Edisi kelapan Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima lebih 285,000 pengunjung sepanjang tujuh hari penganjuran, sekali gus melepasi sasaran awal 250,000 orang.
Pameran yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu turut mencatatkan peningkatan 27.6 peratus berbanding kehadiran tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz berkata, kejayaan ini membuktikan MAS bukan sekadar acara pameran automotif, malah telah berkembang menjadi platform perdagangan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Tahun ini sahaja kita menyaksikan lebih 48 pelancaran baharu melibatkan kenderaan, motosikal dan pelbagai aksesori automotif, jauh melebihi tahun lalu.
“Potensi jualan sepanjang penganjuran juga mencecah RM1.57 bilion, meningkat berbanding RM1.4 bilion tahun 2024. Ini pencapaian yang cukup memberangsangkan,” katanya pada majlis penutupan Malaysia Autoshow 2025, hari ini.
Azrul turut memaklumkan bahawa MARii sedang merangka pelan jangka panjang untuk memperkukuh MAS sebagai platform integrasi serantau dalam teknologi mobiliti, pembangunan rantaian bekalan automotif, dan pertukaran teknologi robotik serta IoT.
“Kita akan tambah lagi pameran berasaskan teknologi robotik dan IoT pada edisi akan datang.
“Tahun ini juga, kita dapat lihat beberapa pengeluar komponen dan OEM mula menampilkan teknologi robotik dalam pameran mereka.”
Dalam usaha menjadikan MAS sebagai acara berprestij di rantau ini, MARii turut merancang untuk memperluas penyertaan antarabangsa menjelang edisi 2027.
“Kita akan jemput lebih banyak penyertaan dari negara serantau. Tahun ini, sudah ada wakil dari Thailand, Indonesia serta pempamer dari China dan Korea,” tambah Azrul.
Bertemakan “Shifting the Future”, MAS 2025 bukan hanya mempamerkan inovasi automotif terkini, malah menjadi pentas utama ke arah transformasi mobiliti lebih hijau, pintar dan terhubung, sekali gus melonjakkan peranan Malaysia sebagai hab teknologi mobiliti serantau.