MOSCOW, 15 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS akan membuka lebih banyak ruang perdagangan serta menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, sebagai sebuah negara dagang, Malaysia kini berpeluang untuk meneroka pasaran baharu dalam kalangan anggota BRICS yang merangkumi kuasa ekonomi seperti Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
“Sama seperti Mesir, yang menyaksikan pertumbuhan perdagangan sebanyak 34 peratus dalam tempoh setahun setengah selepas menyertai BRICS, Malaysia juga perlu mengambil langkah sama untuk meneroka potensi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada pelajar Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), sewaktu menyampaikan syarahan bertajuk "Bridging Worlds In a Fractured Age", sempena lawatan rasmi ke Rusia.
Anwar turut mengakui wujud pelbagai cabaran dalam menjalinkan kerjasama terutama berkait sekatan antarabangsa, namun menekankan keperluan untuk mencari jalan mengatasinya.
“Rusia memiliki kekuatan dalam sektor tenaga, digital dan petrokimia. Walaupun banyak isu dibangkitkan disebabkan sekatan, kita perlu atasi halangan itu demi kepentingan bersama,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah demi manfaat negara dan tidak bertujuan untuk memudaratkan mana-mana pihak.
Lawatan Anwar ke Moscow turut menyaksikan beliau menerima Anugerah Doktor Kehormat dari MGIMO sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau di peringkat antarabangsa.