fb fb fb fb fb

NIOSH sedia perkukuh latihan pemandu kenderaan berat

FOTO HIASAN / BERNAMA

SELANGOR, 14 Mei- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyatakan kesediaan untuk membantu memperkukuh latihan pemandu kenderaan berat melalui pelaksanaan modul khas Safe and Defensive Driving Person (SDDP) yang dibangunkan bersama pakar industri dan pemain sektor logistik.

Modul latihan tersebut memberi penekanan kepada teknik pemanduan berhemah dan selamat, pematuhan undang-undang jalan raya, penyelenggaraan kenderaan serta pengurusan perjalanan.

Ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kecekapan pemandu sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Naib Pengerusi NIOSH, Manivanan Gowin berkata, sudah tiba masanya pihak majikan dan organisasi yang mengendalikan kenderaan berat mengambil pendekatan proaktif dalam menjaga keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya.

"Pemandu kenderaan berat serta mereka yang berada di dalam atau berhampiran kenderaan itu berhak berada dalam persekitaran kerja yang selamat, seperti yang dijamin di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022," katanya.

Beliau berkata, selain program latihan, NIOSH turut menawarkan pelaksanaan audit keselamatan dan kaedah HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control) yang membantu organisasi mengenal pasti dan mengurus risiko dengan lebih sistematik.

"Kita percaya pelaburan dalam latihan dan pendidikan keselamatan bukan satu kos, tetapi satu pelaburan untuk menyelamatkan nyawa dan menjamin kebajikan pekerja," tambahnya.

Inisiatif tersebut diumumkan susulan tragedi pada 13 Mei lalu melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori batu kerikil di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak yang mengorbankan sembilan anggota FRU dan mencederakan sembilan lagi yang lainnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE