PUTRAJAYA, 15 Mei- Susulan insiden tular melibatkan seorang pempengaruh media sosial yang dilafazkan cerai secara terbuka di platform TikTok, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam membuat keputusan, khususnya melibatkan hal-hal serius seperti perceraian.
Menurut beliau, tindakan melafazkan cerai di ruang awam dan terbuka seperti media sosial bukan sahaja menimbulkan implikasi emosi, malah boleh mengundang pelbagai kesan buruk kepada pihak terlibat dan masyarakat sekeliling.
“Kita nasihatkan semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, supaya lakukanlah sesuatu dengan penuh kesopanan, mengikut prosedur dan undang-undang. Supaya keputusan yang dibuat itu tidak membawa kesan negatif kepada diri sendiri mahupun orang lain. Dan paling penting, bersikap ihsanlah sesama manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelantikan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Dr. Zulkifli turut menjelaskan bahawa isu berkaitan hukum lafaz cerai seperti ini perlu diserahkan kepada pihak berautoriti seperti Mahkamah Syariah dan jabatan berkaitan untuk disemak dan diputuskan mengikut syarak dan perundangan yang sah.
Dalam majlis yang sama, Dr. Zulkifli turut menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 31 peserta Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) sesi 2025 yang dipilih dari seluruh negara.
Para pelatih akan menjalani latihan intensif bermula Mei hingga Julai ini dengan fokus kepada keseimbangan antara ilmu tradisi dan kemahiran moden, sebagai persediaan menjadi pendakwah masa depan yang holistik dan berdaya saing global.
“Kita mahu mereka bukan sahaja hebat dalam menyampaikan ilmu, tetapi juga menjadi ejen perubahan positif di tengah masyarakat,” ujarnya.