LANGKAWI, 15 Mei- Sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa lima pegawai dan anggota terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bot pelancongan awam petang tadi.
TLDM menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku ketika pasukan terbabit sedang melaksanakan raptai demonstrasi keupayaan sempena perasmian Segmen Maritim, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25).
"Bot tersebut hilang kawalan namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah dialami oleh kru bot terbabit. Begitupun, kru dihantar ke hosital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
"TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Langkawi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shariman Ashaari, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian tersebut.
Beliau menjelaskan, perlanggaran melibatkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang menjalani latihan dan sebuah bot pelancongan awam yang berada berhampiran kawasan pantai.
Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini.