MOSCOW, 15 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai cerminan semangat saling menghormati antara kedua-dua negara.
Meskipun kedua-dua negara mempunyai latar belakang, budaya dan tamadun yang berbeza, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah mengadakan pertemuan yang sangat baik dengan Presiden Putin.
"Kami di sini atas jemputannya ... daripada seorang pemimpin antarabangsa yang sangat penting kepada sebuah negara yang agak kecil di ASEAN, tapi kami diberikan perasaan dihormati, kesaksamaan dan rasa selesa, inilah sesuatu yang perlu dipupuk.
"Kita tidak percaya kepada unilateralisme. Kita perlu tunjukkan bahawa setiap komuniti, setiap negara, besar atau kecil, kaya atau miskin, mesti diberikan penghormatan dan pengiktirafan," katanya.
Menurut Perdana Menteri, rangka kerja Malaysia MADANI berkongsi asas sama dengan "jiwa Rusia" yang sering disebut oleh intelektual Rusia.
Ia disifatkan sebagai konsisten dalam penekanannya terhadap keadilan, moral dan keseimbangan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa hubungan dua hala turut merangkumi pertukaran golongan belia, pelajar serta penyelidik antara Malaysia dengan Rusia.
Menurutnya, kini terdapat hampir 400 pelajar Rusia di Malaysia, manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Rusia.
Beliau juga memuji usaha Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO) kerana menawarkan Bahasa Malaysia sebagai salah satu subjek di universiti tersebut.
Selain memaklumkan bahawa bahasa Rusia turut ditawarkan di Universiti Malaya.