fb fb fb fb fb

KPM komited laksana reformasi pendidikan menyeluruh, fokus bermula dari bilik darjah

Fadhlina Sidek berucap pada majlis Anugerah Hari Guru sempena sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025, hari ini / BERNAMA

KUCHING, 15 Mei- Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan negara, meliputi pelbagai aspek, termasuk pembaharuan di peringkat akar umbi iaitu di dalam bilik darjah.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata perubahan bermakna dalam sistem pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada dasar besar semata-mata, sebaliknya perlu dimulakan dari unit paling asas di sekolah iaitu kelas.

“Apabila kita membicarakan soal reformasi sekolah, tidak ada tempat lain yang lebih bermakna, unik dan memberi kesan langsung kepada pendidikan dan pembelajaran anak-anak, melainkan reformasi itu berlaku dalam unit paling kecil di sekolah, kelas masing-masing,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, reformasi yang diperkenalkan kali ini memberi penekanan kepada aspek interaksi guru dan pelajar, yang dilihat sebagai elemen kritikal dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara holistik.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 yang berlangsung di Kuching, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, guru dari SK Long Sebangang, Lawas, menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sebagai pengiktirafan atas kreativiti, empati, dan pendekatan nilai insaniah dalam pengajaran beliau.

Beliau turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, berserta piala dan sijil penghargaan.

“Untuk mendekati pelajar hari ini, kita perlu kreatif dan penuh empati dalam setiap sesi pembelajaran di bilik darjah. Supaya murid bukan sahaja memahami silibus, malah turut membawa pulang nilai-nilai kemanusiaan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian di rumah,” ujar Cikgu Nazmi.

Cikgu Nazmi juga merupakan salah seorang daripada 10 calon terbaik Global Teacher Prize 2025 yang berlangsung di Dubai baru-baru ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE