SEGAMAT, 15 Mei- Kementerian Perpaduan Negara kini mengambil langkah memperbaharui slogan dan logo Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam usaha memperhebatkan peranan komuniti di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pembaharuan itu selari dengan peredaran zaman, lebih-lebih lagi selepas lebih 50 tahun KRT diwujudkan sebagai pemacu perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Slogan baharu KRT iaitu “Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan” dipilih untuk memberi nafas segar dan menyuntik semangat baharu kepada lebih 8,529 KRT yang aktif di seluruh negara.
“Dulu mungkin ramai yang tak kenal apa itu KRT, tapi kini KRT jadi jentera utama kementerian dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat. Di mana-mana program perpaduan yang kita anjur, penyertaan KRT memang menggalakkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Segamat hari ini.
Tambah beliau lagi, kementerian juga menggalakkan penglibatan golongan muda dalam pentadbiran KRT, dengan 20 peratus pengerusi KRT kini terdiri daripada belia.