MOSCOW, 15 Mei- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, komited mengetengahkan isu negara anggotanya di persada antarabangsa.
Sekali gus mewujudkan tindak balas serantau yang komprehensif terhadap cabaran global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN sentiasa berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi membantu menyelesaikan isu.
Terutamanya di Myanmar.
"ASEAN berada dalam kedudukan yang menghadapi konflik yang sukar seperti di Myanmar, kami usahakan tetapi berpegang kepada konsensus. Kita panggil Konsensus Lima Perkara, sebab itu perbincangan dengan saya, mereka tahu saya akan bercakap dalam parameter itu," kata Datuk Seri Anwar.
Mengenai isu di Gaza, Perdana Menteri menegaskan negara-negara ASEAN membantah penjajahan dan berharap gencatan senjata dilaksanakan agar tiada diskriminasi terhadap Gaza.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pelajar di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO).
Mereka ingin tahu bagaimana ASEAN memupuk perpaduan dalam kalangan negara anggotanya.
Sesi soal jawab itu dilaksanakan selepas Datuk Seri Anwar menyampaikan syarahan umum bertajuk "Bridging Worlds in a Fractured Age".