fb fb fb fb fb

Undang-undang lindungi hak cipta, karya tempatan perlu diwujud tangani ledakan AI - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

SHAH ALAM, 22 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar satu peruntukan undang-undang baharu diwujudkan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan, susulan kemajuan pesat dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan karya seni tempatan tidak mudah dipalsukan, diciplak atau dimanipulasi oleh teknologi AI, yang kini semakin sukar dikawal.

“Isu hak cipta ini bukan sahaja melibatkan kartunis, tetapi juga karya filem, puisi dan seni lain yang berdepan ancaman akibat perkembangan AI. Perlindungan undang-undang diperlukan bagi memastikan daya cipta dan kreativiti pengkarya seni tidak tersekat, serta melindungi ketulenan hasil karya mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Buku ‘Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar’ di Pustaka Raja Tun Uda, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Datuk Seri Anwar turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital supaya mengambil langkah segera dalam merangka dasar dan undang-undang bagi menangani isu hak cipta berkaitan AI.

Menurut Perdana Menteri, meskipun kerajaan menyambut baik pembangunan AI, penerimaan teknologi itu tidak harus mengabaikan nilai, budaya dan kepercayaan yang menjadi asas penting kepada keseimbangan masyarakat Malaysia.

“Kemajuan teknologi perlu disertai dengan kefahaman terhadap nilai-nilai murni, akidah dan kebudayaan agar tidak menjejaskan keharmonian dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN