fb fb fb fb fb

Nahas kemalangan, tiga warga emas maut di KM328.9 Lebuhraya PLUS

Foto Fail

TAPAH, 22 Julai- Tiga warga emas maut dalam satu kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 70 hingga 77 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima makluman berkenaan kejadian tersebut pada pukul 11.19 pagi dan seramai tujuh anggota telah dikejarkan ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

"Kejadian dilaporkan berlaku apabila kenderaan dinaiki warga emas bersama dua penumpang yang lain dilanggar dari bahagian belakang ketika berada di lorong kanan menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbalik," kata kenyataan itu.

Pihak bomba mengaplikasikan konsep 'SAVER' dan menggunakan 'Rescue Tools' untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sementara itu, dua lagi mangsa dilaporkan cedera dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM