fb fb fb fb fb

PM zahir penghargaan terhadap karya satira kartunis Zunar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) melakukan gimik pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam / Foto Bernama

SHAH ALAM, 22 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan seni satira politik yang dihasilkan kartunis terkenal, Zunar, melalui karya-karya yang mencerminkan denyut nadi rakyat serta pergolakan politik tanah air.

Datuk Seri Anwar menegaskan karya seni termasuk kartun mengenai politik, harus diberi ruang dalam sebuah negara demokrasi, meskipun tidak semestinya selari dengan selera pemerintah.

"Lakaran seorang seniman, curahan hatinya berdasarkan keyakinan, oleh kerana bahan (karya) itu bebas, tulus maka risikonya juga besar, beliau berkembang dalam suasana negara yang agak lebih autoritarian tidak mengizinkan pengucapan seni secara bebas maka beliau juga turut tertekan dengan suasana itu.

"Anak-anak muda harus tahu bahawa keadaan sudah berubah, kita berikan ruang, tidak semestinya kita setuju, tidak semestinya sesuai dengan selera kita apatah lagi dengan kepentingan sang penguasa tetapi demikianlah suasana persekitaran yang disebut demokratik," katanya.

2207 NSL PM KARYA ZUNAR 2Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran 'Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar' di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri turut menyifatkan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque sebagai rakan baik dan menyeru orang ramai untuk menyokong karya baharu kartunis itu sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besarnya dalam dunia seni dan perjuangan demokrasi.

"Dan tidak dinafikan bila kartun-kartun itu popular cuma tiada copyright ia disebar dan dicetak semula sebab itu kita harus bayar balik dengan membeli buku dia hari ini, sebab berpuluh tahun dia punya sumbangan semasa era reformasi itu orang tak beli orang cuma cetak semula.

"Itu sendiri memberi gambaran tentang kemelut ketika itu yang menggambarkan meluapnya kemarahan tentang skandal-skandal terutama rasuah, kezaliman," katanya.

Terdahulu, ‘Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar' memuatkan 230 muka surat mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN