fb fb fb fb fb

Projek pembangunan fasiliti RTM

Angkasapuri Kota Media/Foto RTM

ALOR SETAR, 22 Julai -Tujuh projek pembangunan bagi menaik taraf fasiliti Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Kesemua projek ini dilaksanakan di bawah peruntukan Bajet Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Fasiliti Jabatan Penyiaran Malaysia, Roziyati Rosli, antara fasiliti yang telah siap sepenuhnya termasuk Auditorium RTM Negeri Sembilan, Projek Pembangunan Satelit serta Projek Pembangunan Sistem Pemancar Radio di Sabah FM dan Sarawak FM.

Sementara itu, dua lagi projek iaitu RTM Langkawi dan RTM Bintulu masih dalam proses pembinaan. Sebaik sahaja pembinaan siap sepenuhnya, pemasangan peralatan teknikal akan mula dilaksanakan bagi melengkapkan operasi penyiaran di lokasi tersebut.

"Pihak kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan yang terbaik kepada petugas-petugas RTM agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lancar dan berkesan. Namun begitu, terdapat peralatan sedia ada yang sudah lama digunakan dan menunjukkan penurunan prestasi dari semasa ke semasa.

"Masalah utama yang dihadapi adalah ketiadaan alat ganti di pasaran bagi peralatan lama ini. Disebabkan kekangan itu, peralatan yang rosak tidak dapat dibaiki atau diselenggara dengan sempurna. Oleh itu, kita perlu beralih kepada penggunaan teknologi baharu dan terkini bagi memastikan kelangsungan operasi dan kualiti siaran.

"Sehubungan itu, pihak kami secara berterusan mengambil langkah menambah baik peralatan dari semasa ke semasa agar petugas RTM dapat bekerja dengan lebih efisien, selaras dengan perkembangan teknologi penyiaran semasa. "jelas beliau.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tender Projek Menaik Taraf Fasiliti dan Peralatan Sistem Penyiaran Digital yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penyiaran Negeri Kedah, RTM Kedah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Ismail Sulaiman, serta Pengarah RTM Kedah, Nur Hafizoh Idris.

Projek penambahbaikan auditorium RTM Kedah yang bermula pada 26 Disember 2023 telah berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual pada 25 Jun lalu, melibatkan kos sebanyak RM6.4 juta.

AZRUL FAIZAL JUSOH