AYER KEROH, 22 Julai – Bermula Ogos ini, penternak di Melaka diwajibkan memasang tanda pengenalan berbentuk tag fizikal pada ternakan mereka, khususnya lembu dan kerbau, sebagai langkah kawalan dan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang.
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pindaan terhadap Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan akan dilaksanakan bagi mewajibkan semua penternak mendaftarkan ternakan masing-masing.
Katanya, langkah itu akan memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran, seterusnya memudahkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuai.
“Bila ianya diwajibkan, orang kampung boleh ambil nombor tag, rujuk kepada Jabatan Veterinar. Kalau ada gambar atau video, boleh terus buat laporan kepada PBT untuk tindakan.
"Denda maksimum bawah undang-undang kecil ini adalah RM2,000 dan penjara setahun. Insya-Allah, kita juga akan cadangkan gubal Enakmen Haiwan Berkeliaran Negeri Melaka bagi memperkukuh hukuman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Pelaksanaan tag itu bertujuan mengatasi isu lembu dan kerbau berkeliaran yang sering mendatangkan masalah kepada penduduk kampung, merosakkan tanaman dan mengundang risiko kemalangan jalan raya, termasuk insiden maut.
Dr. Akmal turut memaklumkan, mulai tahun hadapan, sistem tag fizikal akan dipertingkat dengan penggunaan Kod QR bagi memudahkan semakan oleh pihak penguat kuasa mahupun orang awam.
Penternak diberikan tempoh tiga hingga empat bulan untuk melengkapkan proses pendaftaran ternakan mereka di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka.