PADANG BESAR, 22 Julai – Sebanyak 70 set Kombo MADANI yang ditawarkan di Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Felcra Lubuk Sireh habis terjual dalam tempoh dua jam sebaik sahaja Program Jualan Agro MADANI bermula pagi tadi.
Kombo MADANI yang mengandungi empat barangan keperluan harian itu dijual pada harga RM10 berbanding harga asal RM20, menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus.
Menurut Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Mohd Shafizan Wan Nan, Kombo MADANI merupakan inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu pengguna mendapatkan barangan harian pada harga mampu milik.
Katanya, walaupun FAMA tidak menetapkan harga tetap bagi setiap set, pihak Agrobazaar mengambil inisiatif memberi potongan harga agar manfaatnya terus dirasai pengguna.
Jelas beliau, program sebegini akan dilaksanakan secara berkala, sebagai usaha berkongsi rezeki dan membantu penduduk setempat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Program yang berlangsung di salah satu outlet peruncitan FAMA Perlis itu turut menyaksikan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Selain Kombo MADANI, Agrobazaar Rakyat Borong Wann juga aktif melaksanakan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI, yang sering menjadi pilihan utama penduduk sekitar.