fb fb fb fb fb

Terengganu dijangka alami cuaca lembab Khamis ini

Foto BERNAMA

BESUT, 22 Julai - Negeri Terengganu dijangka mengalami  keadaan cuaca yang lebih lembab bermula Khamis ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Negeri Terengganu, Rosli Zakaria berkata sejak 14 Julai lalu Terengganu mengalami cuaca kering dan kebanyakan kawasan di negeri ini tidak menerima hujan dalam tempoh seminggu. 

Antaranya, daerah Dungun yang merekodkan suhu 36.1 darjah celcius, diikuti Kuala Nerus 35.3 darjah celcius dan Kemaman 35.0 darjah celcius.

Tahun lalu, suhu paling tinggi direkodkan adalah 38 darjah celcius.

"Tetapi kalau untuk jangka masa panjang kita masih lagi dalam fasa monsun barat daya yang mana secara amnya fasa ini lebih kering berbanding monsun peralihan, fasa peralihan monsun jadi situasi cuaca kering boleh lagi berterusan, bergantung kepada keadaan angin dan juga faktor sekitar yang lain, suhu tertinggi Terengganu (direkodkan) bulan 5 cuma secara amnya cuaca kering itu boleh bermula sekitar bulan penghujung Januari hingga Mei, Jun, Julai, bermula Ogos Terengganu mula menerima hujan yang lebih lah biasanya dan pada masa itu pun suhu tinggi semakin menurunlah,"

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Meteorologi Negeri Terengganu di Gong Kedak, di sini.

Menurut Rosli, ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan Met Malaysia pada 15 Julai lalu sangat membantu orang ramai agar berwaspada dengan situasi terkini cuaca.

Ia sekali gus memastikan masyarakat patuh dan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh memburukkan lagi cuaca panas ketika ini. 

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka yang dikhuatiri boleh menyebabkan api merebak akibat cuaca kering dan menjejaskan persekitaran termasuk masalah jerebu. 

Selain itu, tidak melakukan aktiviti luar ketika cuaca terlampau panas kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN