KUANTAN, 22 Julai- Kualiti udara yang merosot akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor sejak Ahad lalu, terus menjejaskan kehidupan harian lebih 1,300 penduduk di Perumahan Balok Baru, Kuantan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rusli Jusoh berkata keadaan paling teruk berlaku setiap pagi apabila asap tebal menyelubungi kawasan perumahan sejak pukul 6.00 pagi, dengan bau yang amat busuk.
"Untuk satu dua hari ni, ibu bapa saya nasihatkan supaya kawal pergerakan keluar rumah. Tengok keadaan cuaca. Kalau jerebu sudah berkurang, bolehlah keluar. Tapi kalau nak berkurung terus pun, tak boleh juga," kata Rusli kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, walaupun kebakaran telah dikawal oleh pihak bomba, asap yang masih keluar dari timbunan menyebabkan udara kekal tercemar.
Hakikat itu diakui rata-rata penduduk yang bimbang dengan kesihatan keluarga masing-masing.
"Kalau nak hantar anak keluar petang-petang pun rasa risau, sebab kita sendiri pun dah rasa tak sihat, inikan pula budak-budak," kata penduduk, Mek Dayang Aini Abdullah.
"Macam anak-anak, pagi-pagi nak hantar ke sekolah pun risau takut dorang batuk ke dan isteri saya pun dah mula sesak nafas," kata penduduk, Mohd Jai Mat Lawi.
Setakat pukul 11.00 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balok Baru direkodkan pada 132 iaitu berada pada tahap tidak sihat.
Ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan terjejas.