fb fb fb fb fb

Sarawak lambang perpaduan, kerajaan komited laksana MA63 - PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Kerajaan kekal teguh terhadap usaha menjamin serta melaksana perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara tersebut dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook rasminya, selari dengan sambutan Hari Sarawak ke-61, hari ini.

Beliau yakin Sarawak akan terus berada di landasan tepat terutama dalam melakar masa depan yang lebih adil, inklusif dan lestari sekali gus dapat memimpin negara dalam bidang tenaga boleh baharu (TBB), ekonomi hijau dan pemerkasaan pendidikan serta teknologi.

"Tanggal 22 Julai adalah satu tanda yang terukir kukuh dalam lipatan persejarahan negara bangsa ini. Atas kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak yang ke-61 kepada seluruh anak Sarawak, dari Limbang ke Lundu, dari Bintulu ke Betong.

Faktanya, Sarawak adalah jiwa dan nadi Malaysia. Sama ada di pedesaan dan pedalaman atau di kota, rakyat Sarawak hidup berukun dalam kepelbagaian yang sarat dengan nilai dan budaya.

Lantas ia menjentik dhamir betapa Sarawak merupakan amanah besar yakni perpaduan bukan sekadar retorik tetapi cara dan gaya hidup," kata kenyataan itu.

Tegasnya, kesatuan kaum dan warisan budaya di Sarawak merupakan lambang keutuhan masyarakat negeri itu yang berbilang kaum dan budaya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM