MUAR, 22 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat satu laporan polis susulan laporan palsu berhubung kehilangan seorang pempengaruh permotoran di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Muar pada 14 Julai lalu.
Ketua Zon 4, JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba Dua Norshuhada Amsari berkata laporan polis terhadap lelaki itu dan adiknya dibuat di Ibu Pejabat Polis Muar, semalam.
JBPM menganggap membuat laporan palsu berkaitan kehilangan atau kemalangan adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab kerana telah membazirkan masa dan tenaga anggota penyelamat.
Ia juga menyebabkan tugasan kecemasan lain terganggu kerana pegawai dan anggota tertumpu di kawasan pencarian tersebut.
Sepanjang operasi mencari dan menyelamat selama empat hari bermula Isnin minggu lalu, lebih 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian.