fb fb fb fb fb

UMT perkenal Modul Braille Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu

Projek Melon Manis Terengganu, di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus

KUALA NERUS, 13 November- Buat julung kalinya 10 ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia-SBM Cawangan Terengganu berpendapatan isi rumah B40 menjadi perintis Projek Tanaman Fertigasi dan Hidroponik Melon Manis Terengganu yang bakal dimulakan awal tahun depan.

Projek tersebut mendapat sokongan dana peruntukan menerusi Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan berjumlah RM250,000 dengan jalinan kerjasama program pemindahan ilmu terkini Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Lebih menarik apabila pihak UMT mengambil inisiatif memperkenalkan Modul Braille Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu untuk peserta terlibat.

Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Dr Wan Zaliha Wan Sembok, berkata kesemua peserta terlibat terlebih dahulu diberi tunjuk ajar secara teori dan amali menerusi kelas yang diadakan dua kali seminggu sejak Mac lalu.

Beliau berkata demikian pada hari tuaian dan pengendalian lepas tuai projek rintis Projek Melon Manis Terengganu, di ibu pejabat pertubuhan tersebut di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Penyelarasan perjalanan projek itu turut dibantu dua Penuntut Sarjana UMT, Firdaus Mohd Hatta (Sarjana Ekologi, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin) dan Fatin Nur Atilia Abdul Razak (Sarjana Sains Tanaman, Fakulti Perikanan dan Sains Makanan).

Melon Manis Terengganu berharga sekitar RM12 sekilogram di pasaran tempatan.

ROSLINA BINTI DIN