KUANTAN, 29 Julai- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dijenamakan semula kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), seiring kegemilangan yang dikecapi sejak 21 tahun kewujudannya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan, berkuat kuasa 14 April lalu.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, penjenamaan semula itu tepat pada masanya apabila universiti tersebut kini berada di puncak kejayaan, bertepatan visi ‘ke arah sebuah universiti teknologi terunggul’.
Katanya, penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak selain melahirkan sisawzah cemerlang.
"Kebolehpasaran siswazah universiti kini mencapai 98.67% dan antara tertinggi di Malaysia.
"Penjenamaan ini juga akan membina reputasi dan keupayaan universiti seiring perkembangan dan pencapaian universiti yang diiktiraf dunia," kata Dr Yuserrie .
UMPSA tersenarai di kedudukan 201-250 dunia menerusi Times Higher Education Young University Rankings 2023 (THE Young), baru-baru ini.
(UMP dijenamakan semula kepada UMPSA/Foto hiasan)