fb fb fb fb fb

Malaysia rumah kita, keluarlah mengundi

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Semua calon, penyokong dan pengundi perlu mengamalkan etiket sosial yang penuh kesantunan, berhemah dan saling hormat-menghormati sepanjang tempoh 14 hari waktu berkempen sempena dengan PRU DUN ke-15.

Buat penilaian, raikan demokrasi dengan rasa tanggungjawab dan tidak memanipulasi mahupun menyebarkan sebarang maklumat secara membuta tuli, terutama di platform media sosial, tanpa asas yang kukuh dan sahih.

Itu harapan yang disuarakan Pensyarah Kanan Centre For The Initiation of Talent and Industrial (CITra), Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis ketika ditemui selepas program 'Grandstand PRU DUN KE-15' di Angkasapuri.

Beliau berkata semua pihak termasuk calon dan pengundi mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksana secara matang dan rasional, terutama dalam menyuarakan pendapat atau menyebarkan sebarang maklumat di platform media sosial.

"Kita mengharapkan kempen yang matang. Jangan orang kata kalut dan gelut sangat semata-mata hendak menang, sanggup membuat benda yang salah dari segi undang-undang, salah tidak kena dari segi etika. Malahan, berdosa dari segi agama. Kita tak nak macam itu.

"Kita hendak rakyat yang bermaklumat. Perkongsian maklumat itu baik tetapi mesti dilakukan dengan cara yang bertanggungjawab. Pastikan yang sahih," tegas beliayu.

Dr Muhammad Shamshinor turut menekankan kepentingan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan cintakan negara, ia perlu dilunaskan demi kelestarian negara yang makmur, sejahtera dan berdaulat.

"Malaysia ini adalah rumah kita semua. Kita bertanggungjawab untuk menjaga rumah kita. Antara cara untuk menjaga rumah kita ini yang kita sayang adalah dengan menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi terutamanya pengundi muda.

"Jadi, turunlah mengundi. Sayangilah negara. Ini rumah kita semua," katanya.


(Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis ketika ditemui selepas program 'Grandstand PRU DUN
KE-15' di Angkasapuri)


Media Baharu