fb fb fb fb fb

UMNO Kubang Pasu sokong vape diharamkan sepenuhnya

FOTO HIASAN

JITRA, 30 Julai - UMNO Bahagian Kubang Pasu menyokong penuh usaha kerajaan untuk mengharamkan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.

Langkah tegas itu amat dialu-alukan bagi melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin yang semakin berleluasa dan membahayakan kesihatan awam.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar berkata, penggunaan vape secara tidak terkawal telah menjadi satu krisis kesihatan yang menggugat nilai masyarakat, malah mengancam masa depan anak-anak.

Beliau berkata, usaha pengharaman tersebut perlu disalurkan secara menyeluruh dan disokong oleh semua pihak.

“Ia bagi memastikan kesihatan rakyat Malaysia terus terpelihara, kerosakan moral dan sosial generasi muda dapat dicegah, serta eksploitasi industri yang tidak beretika terhadap belia dapat dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, Kerajaan MADANI telah menunjukkan keberanian politik yang tinggi, dan inisiatif ini adalah satu langkah penting ke arah Malaysia yang lebih sihat, bersih dan bermaruah.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara sebagai langkah menjaga kesihatan awam sebagai perlindungan terhadap remaja serta kanak-kanak.

Bagaimanapun pengharaman itu akan dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Beliau berkata, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada dan keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melin­dungi kesejahteraan rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE