PUTRAJAYA, 9 November - Kebajikan dan pembangunan kerjaya pelaut Malaysia terus diberi perhatian apabila kerajaan mengumumkan dua inisiatif baharu penting yang bakal memberi impak besar kepada sektor maritim negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, inisiatif itu melibatkan penetapan Garis Panduan Gaji Minimum Pelaut Malaysia dan pengurangan tempoh perkhidmatan laut bagi kadet enjin daripada 12 bulan kepada enam bulan.
Menurutnya, penetapan kadar gaji minimum pelaut merupakan hasil perbincangan dan kesepakatan bersama antara Jabatan Laut Malaysia (JLM), wakil persatuan pemilik kapal, serta kesatuan dan persatuan pelaut, bagi memastikan imbuhan yang lebih adil dan selaras mengikut kategori pelayaran kapal.
“Penghargaan tidak terhingga wajar saya berikan kepada wakil-wakil persatuan, pemilik kapal serta wakil-wakil kesatuan dan persatuan pelaut, yang sentiasa seiring dengan kerajaan dalam agenda melindungi hak anak kapal hingga dua kejayaan besar yang menandakan kemajuan penting untuk kebajikan pelaut negara dizahirkan,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Pelaut dan Rumah Api 2025 sempena Hari Pelaut Sedunia dan Hari Alat Bantuan Pelayaran Sedunia peringkat kebangsaan di Marina Putrajaya, semalam.
Bagi pengurangan tempoh perkhidmatan laut untuk latihan kadet enjin, Datuk Hasbi menjelaskan keputusan, itu dibuat selaras dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Piawaian Latihan, Pensijilan dan Perkhidmatan Penjagaan (STCW) tanpa menjejaskan kompetensi pelaut.
“Penyesuaian ini hasil penelitian terperinci antara JLM dengan institusi latihan maritim termasuk Politeknik Ungku Omar dan Akademi Laut Malaysia (ALAM). Ia akan mempercepatkan laluan kerjaya pelaut muda dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat global,” katanya.
Kedua-dua inisiatif akan diwartakan secara rasmi melalui Notis Perkapalan Malaysia pada suku pertama tahun 2026, yang akan memperincikan pelaksanaan serta mekanisme penguatkuasaan.
Mengenai sambutan itu , Datuk Hasbi berkata, ia membawa mesej besar tentang hubungan erat antara pelaut dan sistem keselamatan pelayaran.
Beliau menegaskan tema #MyHarassmentFreeShip yang dipilih oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi Hari Pelaut tahun ini menyeru komuniti maritim dunia untuk menolak sebarang bentuk gangguan dan diskriminasi di laut.
Manakala, tema WATON 2025, “The Role of Physical Aids to Navigation in a Digital Future,” mengingatkan kepentingan alat bantuan pelayaran fizikal walaupun dunia semakin beralih kepada automasi dan teknologi digital.
“Malaysia terus memainkan peranan penting dalam arena maritim antarabangsa sebagai ahli Majlis IMO sejak 2006 dan kini turut dipilih sebagai ahli Majlis IALA bagi penggal 2025–2027. Ini membuktikan pengiktirafan global terhadap sumbangan negara dalam keselamatan dan inovasi pelayaran,” tambah beliau.
Karnival dua hari itu menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan serta orang awam dalam suasana santai dan inklusif bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan penting pelaut dan sistem bantuan pelayaran kepada negara.