fb fb fb fb fb

Hampir 200 program perpaduan berjaya dilaksana

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November - Hampir 200 program perpaduan seluruh negara berjaya dilaksanakan menerusi inisiatif pemberian bantuan kewangan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tahun ini.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, inisiatif itu akan diteruskan dan menggalakkan lebih ramai NGO untuk membuat permohonan menerusi Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan seawal Februari tahun depan.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 805 permohonan telah diterima. Walau bagaimanapun, berdasarkan peruntukan yang diterima daripada kementerian, kita hanya berupaya menyalurkan bantuan kepada kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti ini mencerminkan keterlibatan menyeluruh masyarakat. Menariknya, penyertaan NGO pada hari ini menampilkan kepelbagaian etnik, termasuk penyertaan warga asing yang turut menunjukkan minat mendalam.

"Kita mengalu-alukan penyertaan mereka untuk bersama-sama kita dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Warisan Perpaduan Budaya Malaysia 2025, di Mytown Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Tambahnya lagi, penyertaan lebih banyak NGO membuktikan NGO kini lebih proaktif sebagai rakan strategik dalam memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Family Of Charity, Meor Arif Afiq berkata, penganjuran festival tersebut bertujuan untuk meraikan kepelbagaian budaya dan warisan masyakarat majmuk di Malaysia.

“Kami telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara bagi mewujudkan suasana yang meriah dan harmoni, yang menghimpunkan pelbagai komuniti dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Jelas beliau, dengan kepelbagaian etnik Melayu, Cina, India, serta masyarakat dari Sabah dan Sarawak, pihaknya terus berusaha membawa elemen perpaduan dalam program selama dua hari tersebut.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN