KUALA LUMPUR, 9 November - Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan serta memperkukuh industri batik tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa.
Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai usaha bersama dalam aspek pembangunan kapasiti, kelestarian, penjenamaan dan promosi, bagi memperkasa penggiat batik tempatan mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta meningkatkan daya saing di pasaran global.
Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti, Datin Paduka Azalina Adham berkata, kerjasama itu bertujuan mengukuhkan usaha promosi batik Malaysia di samping membangunkan keupayaan dan kapasiti penggiat industri agar mampu menembusi pasaran antarabangsa.
"MOU yang kita ada dengan Kraftangan adalah untuk melihat bagaimana kita boleh bekerjasama mempromosikan batik Malaysia. Selain itu, kita juga mahu membangunkan keupayaan dan kapasiti mereka supaya batik Malaysia lebih menyerlah di seluruh dunia. Itulah yang kita harapkan melalui kerjasama ini", katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan, Datuk ‘Ainu Sham Ramli, berkata pihaknya menyokong penuh inisiatif yang digerakkan oleh SC melalui pelaksanaan Panduan Pelaporan Batik Lestari (SBDG) bagi memperkukuh daya saing usahawan batik tempatan.
“Kami di Kraftangan Malaysia memang menyokong penuh usaha yang digerakkan oleh SC untuk mengguna pakai SBDG dalam kalangan usahawan batik di Malaysia, supaya usaha pengusaha kita lebih terserlah bukan sekadar di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.
"Ini selaras dengan usaha kami untuk mengantarabangsakan kraf Malaysia pada masa hadapan", katanya pada Majlis Pertukaran MoU Suruhanjaya Sekuriti dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di ibu negara.
Kerjasama strategik ini dijangka menjadi langkah penting dalam mengangkat industri batik negara sebagai satu sektor kreatif yang mampan, seiring aspirasi negara memperkukuh ekonomi budaya di peringkat global.
Antara bidang kerjasama yang digariskan termasuk pembangunan kapasiti dan latihan lestari, pembangunan dan penjenamaan produk, pemerkasaan ekonomi usahawan kraf batik Malaysia serta publisiti dan kesedaran awam.