KUALA LUMPUR, 9 November – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperkukuh peranan sebagai agensi pemangkin pembangunan seni budaya bandar menerusi Program Bimbingan Seni Budaya (BSB) dan Program Perantisan Seni 2024–2025.
Kedua-dua program tersebut menjadi platform utama bagi memastikan seni warisan bangsa terus dipelajari, dihargai dan diwarisi oleh generasi muda di kawasan bandar, selaras dengan usaha kerajaan memartabatkan budaya tempatan di peringkat akar umbi.
Bagi tempoh dua tahun pelaksanaan, sebanyak enam buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat di bawah kategori Kelab Tunas Budaya (KTB) dan Kelab Giat Budaya (KGB), dengan penyertaan seramai 126 pelajar.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Encik Mohd Radzi Omar berkata, ia sekali gus dapat memperkukuh usaha untuk melahirkan generasi berjiwa dan celik seni budaya di samping menyemai minat, kemahiran dan kecintaan terhadap seni budaya dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
“Saya amat berharap agar anak bangsa kita, sebagai generasi penerus, bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki nilai budaya dan jati diri yang tinggi. Kejayaan akademik semata-mata tidak akan bererti sekiranya jati diri kita rendah.
"Seharusnya kita meletakkan nilai budaya dan jati diri sebagai budaya yang tinggi dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam program BSB ialah SK Cochrane Perkasa, SK Puteri Pandan 2, SJKT Saraswathy, SMK Cochrane Perkasa, SMK Cochrane dan SMJK Chong Hwa.
Latihan dijalankan oleh Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) dalam empat bidang utama iaitu tari, muzik, teater dan silat, dengan pendekatan pengajaran berasaskan 'modul JSBN' yang disesuaikan dengan keupayaan pelajar.
Kesemua peserta dan jurulatih yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kedua-dua program berkenaan, diraikan pada Majlis Apresiasi Program BSB dan Perantisan Seni 2025 berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC yang turut menampilkan persembahan khas bakat muda hasil bimbingan JKKN.
Majlis turut meraikan 45 peserta Program Perantisan Seni Nyanyian Dalam Opera Kantonis bagi memelihara warisan teater tradisi masyarakat Cina yang berusia lebih 100 tahun di Malaysia.
Program tersebut melibatkan 19 peserta pada tahun 2024 dan 23 peserta pada 2025, di bawah bimbingan Lim Choo Leong, Giam Yit Ying dan Hee Yit Ooi.
JKKN WPKL komited untuk meneruskan usaha memperluas jaringan kerjasama bersama sekolah, jurulatih dan komuniti setempat, demi memastikan kesinambungan warisan budaya negara terus hidup dan diwarisi oleh generasi muda.
Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut, layari pautan, [www.facebook.com/jkknwilayahkualalumpur](https://www.facebook.com/jkknwilayahkualalumpur).