KUALA LUMPUR, 30 Julai – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyifatkan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatukan pihak yang berkonflik sebagai cerminan kepimpinan Islam yang menekankan keadilan, perdamaian dan kemuliaan insan.
Menurut IKIM, kejayaan Malaysia menjadi pengantara dalam perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Thailand dan Kemboja pada 29 Julai lalu membuktikan bahawa kuasa bukan hanya terletak pada kekuatan ketenteraan, tetapi juga kepada moral, akhlak dan ketelusan dalam mengurus konflik.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata pencapaian tersebut menggambarkan pendekatan diplomasi yang berteraskan nilai serta etika mampu merungkai konflik yang berlarutan, selari dengan prinsip Islam yang menjunjung perdamaian dan kemanusiaan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah memperkukuh peranan utama dalam menggalakkan penyelesaian damai serta rundingan diplomatik dalam kalangan negara anggota. Kejayaan ini menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa tentang bagaimana kepimpinan berteraskan nilai mampu membuahkan hasil yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.
IKIM turut menyeru rakyat Malaysia agar menzahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut, selain menghayati kepentingan keamanan sebagai asas pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan umat manusia.