fb fb fb fb fb

Kemahiran mendidik anak-anak perlu seiring dengan teknologi terkini

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bersempena Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Padang Semarak, Taman Wetland di Putrajaya/RTM

PUTRAJAYA, 9 November – Ibu bapa kini perlu peka dengan perkembangan ilmu teknologi terkini dalam mendidik anak-anak supaya dapat membentuk keluarga sejahtera dan masyarakat yang stabil.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata dalam era teknologi dan perubahan sosial yang pesat, ibu bapa perlu terus melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini bagi memastikan mereka mampu membimbing anak-anak secara efektif dan berhemah.

"Apa lagi anak-anak sekarang semakin ke depan dengan penggunaan Internet. Jadi ilmu di situ perlu untuk ditingkatkan hari ke hari. Ibu bapa kena tambah ilmu untuk mengikuti teknologi dan perkembangan semasa.

"Kajian menunjukkan kemahiran keibubapaan semakin menurun dalam kalangan ibu bapa, sedangkan anak-anak kini jauh lebih maju dari segi penggunaan teknologi," kata beliau.

"Sebab itu, ilmu perlu ditingkatkan supaya ibu bapa dapat menyesuaikan pendekatan mendidik dengan persekitaran digital dan cabaran semasa,” katanya ketika ditemu bual bersempena Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025 di Padang Semarak, Taman Wetland di Putrajaya.

Datuk Abdul Shukur berkata peningkatan ilmu bukan sahaja penting untuk membimbing anak-anak, tetapi juga menanam nilai etika, tanggungjawab dan komunikasi berkesan dalam institusi keluarga.

LPPKN turut memperkenalkan dua modul baharu bersempena sambutan BKK, iaitu Modul Kebapaan dan Modul Romantikkan Cinta, yang dirangka khusus memperkukuh kemahiran serta peranan ibu bapa dalam mendepani cabaran kekeluargaan masa kini.

Modul Romantikkan Cinta memberi tumpuan kepada pasangan baharu mendirikan rumah tangga, terutama dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan yang dikenal pasti sebagai fasa kritikal.

“Berdasarkan data, hampir 30 peratus kes penceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan. Modul ini membantu pasangan muda menguruskan konflik, memahami keperluan pasangan dan memupuk kasih sayang berterusan dalam rumah tangga,” jelasnya.

Sementara itu, Modul Kebapaan pula dibangunkan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran kaum lelaki agar lebih berperanan dalam membimbing keluarga serta melindungi ahli rumah tangga mereka.

“Dalam kes penderaan atau masalah sosial, kita sering menuding kepada lelaki sebagai punca, tetapi sebenarnya mereka juga perlu dibantu dengan ilmu. Modul ini melatih bapa agar lebih empati, memahami psikologi anak-anak dan mampu memimpin keluarga dengan berhemah,” katanya.

Sambutan BKK 2025 turut memperkenalkan pelbagai inisiatif sokongan termasuk kempen ‘Awak Okey Tak?’, Talian Kasih 15999, serta Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSS) dan Kafe@Teen, yang menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan kepada keluarga yang berdepan tekanan atau isu sosial.

Beliau turut memaklumkan kempen dan program bersempena BKK akan diperluas ke seluruh negara selepas pelancarannya di Putrajaya, agar semua lapisan masyarakat dapat menerima manfaat.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ