fb fb fb fb fb

Golongan istimewa, autistik antara 5,000 peserta Klang Marathon 2025

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain (duduk kiri) menyantuni golongan istimewa pada acara Klang Marathon 2025 / Foto RTM

KLANG, 9 November – Klang Marathon 2025 mencipta kelainan apabila menampilkan penyertaan golongan istimewa termasuk anak-anak autistik yang turut berlari bersama-sama lebih 5,000 peserta dalam acara julung kali diadakan di Bandar Bukit Raja, hari ini.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain, berkata, penyertaan istimewa ini menjadi simbol semangat inklusiviti yang mahu diterapkan oleh Majlis Bandaraya Klang (MBK) melalui penganjuran sukan komuniti.

“Kita mahu masyarakat sedar dan menghargai kehadiran anak-anak istimewa ini. Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa mereka memerlukan perhatian dan rawatan awal. Melalui larian seperti ini, masyarakat dapat memahami mereka dengan lebih baik dan membantu mereka diterima dalam komuniti,” katanya.

Beliau menegaskan, penyertaan anak-anak autistik dalam marathon ini bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai satu langkah kesedaran sosial terhadap cabaran yang dihadapi keluarga dan penjaga mereka.

“Perlakuan anak-anak autistik kadang-kadang sukar difahami. Sebab itu penting untuk masyarakat diberi pendedahan agar kita boleh bantu mereka hidup lebih selamat dan yakin dalam persekitaran sosial,” ujarnya.

Selain golongan istimewa, acara turut disertai anak-anak yatim daripada beberapa pertubuhan kebajikan yang diberi peluang merasai suasana komuniti yang positif dan penuh sokongan.

Klang Marathon 2025 menampilkan empat kategori utama iaitu 42 kilometer (km) (full marathon), 21 kilometer (half marathon), 10 kilometer dan 5 kilometer, serta larian santai 3 kilometer.

Menurut Datuk Abd. Hamid, marathon ini turut mendapat sokongan daripada Sime Darby , Lembaga Lebuhraya WCE, serta beberapa penaja tempatan.

Laluan 42km dan 21km menggunakan jajaran lebuh raya, manakala kategori lain melalui kawasan perumahan sekitar Bukit Raja.

“Larian ini bukan sekadar acara sukan, tetapi jambatan yang menghubungkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan istimewa untuk sama-sama membina Klang sebagai bandar yang sihat, prihatin dan inklusif,” jelasnya.

Datuk Abd. Hamid berharap penganjuran seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan penaja dan pihak korporat, bagi memastikan Klang terus menjadi bandar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

EMMI NORALIZA ADNAN