fb fb fb fb fb

Isu kaum, agama dan negeri tidak wajar disensasikan - Sultan Nazrin

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim

KUALA KANGSAR, 9 November - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa isu kaum, agama, negeri dan wilayah tidak wajar disensasikan sehingga memecah belahkan rakyat.

Tindakan sedemikian berupaya meracuni pemikiran rakyat dan menghancurkan makna kemerdekaan.

Baginda bertitah perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai agama, budaya dan bahasa merupakan asas penting kelangsungan negara dan sejarah kemerdekaan pula dicapai melalui kebijaksanaan diplomasi serta usaha bersama rakyat pelbagai kaum.

"Usaha menyatupadukan rakyat semestinya menghadapi halangan besar, apabila ada kalangan rakyat yang memilih mahu mensensasikan isu kaum, isu agama, isu negeri dan isu wilayah.

"... pada waktu yang kita sepatutnya lebih memberi fokus, mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis dan dibina oleh pemimpin terdahulu.

"Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa.

"Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat", titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-69 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Titah Baginda bahawa tindak tanduk yang dipengaruhi emosi boleh membawa kerugian besar kepada rakyat dan negara.

Rakyat juga tidak seharusnya dijadikan mangsa persengketaan politik ketika banyak usaha perlu ditumpukan bagi membantu golongan daif.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan negeri, pasukan keselamatan, penjawat awam dan seluruh warga yang mendukung usaha pembangunan Perak.

ROSLINA BINTI DIN