JOHOR BAHRU, 4 Januari-UMNO Johor bersetuju supaya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun, wajar diberi ruang membuat rayuan atas tindakan dikenakan parti terhadap mereka.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Naib Presiden UMNO selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru.
Menurutnya, keputusan berkenaan akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti serta dimaklumkan segera kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Dalam keadaan kita akur kepada keputusan parti. UMNO Johor turut berbincang zahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku kepada kedua-dua pemimpin yang tidak dinafikan banyak berjasa kepada UMNO Johor khususnya", katanya kepada media.
Jelas Datuk Seri Mohamed Khaled, penggantungan keahlian bukan penamat karier politik, sebaliknya, ahli yang digantung tidak boleh berputus asa dan pelbagai cara boleh dilakukan untuk diterima semula, termasuk memendekkan tempoh penggantungan.
Dalam mesyuarat sama, beliau dimaklumkan Tan Sri Shahrir Ab Samad tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian Johor Bahru pada pemilihan akan datang
(Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru/FOTO RTM)