KEPALA BATAS, 12 Mei - UMNO mencadangkan penubuhan sebuah institut kepimpinan yang mengabadikan nama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pusat latihan dan penyelidikan politik parti itu.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bulan depan.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kajian dan dokumentasi mengenai perjalanan politik serta pemikiran bekas Perdana Menteri kelima itu.
"Kita akan letakkan ini sebagai sebuah institut bukan hanya untuk latihan, tetapi juga menjadi pusat kaji selidik (research centre) kepada UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata institut itu juga akan menjadi sumber rujukan penting kepada penyelidik dan pengkaji sejarah, khususnya menjelang sambutan ulang tahun ke-80 UMNO tahun hadapan.
“Sekarang ini memang sudah ada unit penyelidikan, tetapi kita akan perbesarkan supaya ia boleh dijadikan bahan rujukan bagi penyelidik dan pengkaji sejarah perjuangan UMNO,” katanya.
Selain menamakan semula MRSM Kepala Batas sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Ahmad Zahid turut mengarahkan pihak pengurusan MRSM untuk menganjurkan seminar khas bagi mengupas pemikiran dan perjalanan kerjaya politik Bapa Pembangunan Modal Insan itu.- Bernama