fb fb fb fb fb

Kebakaran kapal tongkang di Pulau Carey, bomba teruskan usaha pemadaman

Proses pemadaman kebakaran kapal tongkang di lokasi / Foto JBPM Selangor

KLANG, 12 Mei – Sebuah kapal tongkang yang sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan terbakar dalam satu insiden di kawasan darat di Jalan Bandar Lama Batu 13, Pulau Carey, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.45 pagi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Muhammad Iffan Abdul Gani, kebakaran dipercayai berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan kapal termasuk aktiviti kimpalan sedang dijalankan.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pada pukul 11.55 pagi. Lokasi kejadian terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai".

“Setakat ini, kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan oleh pasukan bomba dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh pasukan dari BBP Banting, BBP Sri Andalas dan BBP Klang Utara dengan kekuatan keseluruhan seramai 22 anggota serta beberapa jentera termasuk Light Fire Rescue Tender (LFRT), Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Water Tanker.

Turut berada di lokasi ialah Pegawai Kanan JBPM, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Fadzrul Azren Md Razif.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE