KUALA LUMPUR, 12 Januari- Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak hanya penting kepada parti sebaliknya terarah kepada pengukuhan masa depan negara.
Selain itu, keputusan itu berjaya menamatkan kemelut politik berpanjangan yang dikhuatiri menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pemilihan ahli kabinet secara demokratik mewakili pelbagai parti amat strategik kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan yang lebih dinamik.
"Jadi, bila Istana Negara mengusulkan penubuhan, Kerajaan Perpaduan pada UMNO, ia adalah solusi yang paling ampuh. Bukan sahaja, ia dapat memberikan ketembusan kepada kebuntuan politik waktu itu tetapi juga memberikan UMNO peluang untuk menyumbang secara bermakna. Kita juga merasakan bahawa telah tiba masanya untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu dalam saat paling kritikal untuk Malaysia.
Yang penting kepada kita ialah memberi fokus kepada ‘governing’. Keutamaan UMNO ialah kestabilan politik Malaysia dan bukannya ideologi politik rakan kerjasama kita dalam Kerajaan Perpaduan," kata Mohamad ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di ibu negara.
(Foto FB Menteri)
Malah katanya, UMNO berperanan sebagai wadah semak dan imbang yang efektif kepada kerajaan.
Selain memperjuangkan dasar yang lebih baik, idea yang lebih bernas, amalan yang lebih telus, dan pemikiran yang lebih besar dan pragmatik.