(Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah/BERNAMA)
IPOH, 19 Julai- Umat Islam wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi, selain bertenaga menangani dan menguasai situasi semasa terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan.
Dalam masa sama, berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium dan kaedah baharu yang dirintis selari dengan keperluan zaman serta dahagakan kemajuan.
(Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat ke
Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak/BERNAMA)
"Penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang budaya lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam
"Penghijrahan adalah suatu jihad dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan dan kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik", titah Baginda dalam Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1445H peringkat negeri di Ipoh.
Titah baginda lagi, cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda-budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa. Dalam masa sama, tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.
Pada majlis tersebut, Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid Wilayah Bagan Serai, Jurij Sulaiman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2023 dengan membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, piala iringan serta sijil RM300.