KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Wakil Palestin antara lapan peserta kategori hafazan yang akan memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQA) ke-65, di sini.
Jenan Nabil Mohammed Nofal, 24, berharap dapat meraih kemenangan sebagai hadiah buat ibu bapanya yang banyak memberi dorongan.
“Insya-Allah, beliau berharap diberi kemenangan dan mendoakan agar dapat pulang ke negaranya dengan selamat.
Jenan mengulang kaji kira-kira lima juzuk setiap hari bagi mengekalkan hafazannya," kata penterjemah mewakili Jenan ketika ditemui RTM.
Jenan berasal dari wilayah Qalqilya, Palestin, kira-kira 20 kilometer dari Baitulmaqdis dan kini masih menuntut di Madrasah Nur liTajweed wa Tahfiz Al-Quran.
Selain Jenan, tujuh peserta lain termasuk dari Rusia dan Turkiye turut memperdengarkan bacaan masing-masing hari ini.
Peserta hafazan lain ialah Moussa Ayouba Idrissa dari Nigeria, Abdulkadir Yusuf Mohamed (Somalia), Mohammad Yahya Al Zahabi (Lubnan), Isha Sowe (Gambia), Dzhalil Nurutdinov (Rusia), Md Fazle Rabby (Bangladesh) dan Seyma Yildirim (Turkiye).
MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos bertemakan “Membangun Ummah MADANI” dan menampilkan lebih 70 peserta dari seluruh dunia.