fb fb fb fb fb

Ab. Rahaman dilantik Ketua Polis Johor baharu, fokus tiga hala tuju utama

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Johor antara Datuk M. Kumar (kiri) dengan CP Ab Rahaman Arsad (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 4 Ogos – Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Penjawatan) Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Ab. Rahaman Arsad, dilantik sebagai Ketua Polis Johor baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk M. Kumar yang kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian pangkat disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

“Saya percaya kedua-dua individu ini akan menggalas tanggungjawab sebaiknya dalam memastikan Kontinjen Johor terus relevan di mata masyarakat,” kata Datuk Seri Abdul Aziz.

Datuk M. Kumar pula dalam ucapannya berkata, pertukaran itu bukanlah penamat, sebaliknya kesinambungan pentadbiran lebih mantap.

“Saya percaya Ketua Polis Johor yang baharu akan menjaga kontinjen ini dengan cemerlang dan progresif,” ujarnya.

Sementara itu, CP Ab. Rahaman memperkenalkan tiga hala tuju utama kepimpinan beliau di Johor iaitu profesionalisme dan integriti dalam perkhidmatan, tadbir urus yang baik, serta kebajikan warga polis.

Beliau turut mengetengahkan prinsip “The G.R.E.A.T” yang berteraskan Good governance, Responsible, Empathy, Accountability dan Tendency of Purpose.

“Cabaran memang wujud dan saya tak nafikan. Tapi sebagai pegawai polis, kita sentiasa bersedia apabila diarahkan.

Dengan kerjasama semua ketua jabatan dan ketua polis daerah, kita yakin dapat mengekalkan ketenteraman awam di Johor,” katanya.

Kontinjen Johor merupakan antara yang terbesar dengan lebih 10,000 pegawai dan anggota.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN