KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Dua pegawai serta seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rompakan terhadap seorang ahli perniagaan China.
Ketiga-tiga mereka didakwa merompak wang tunai dan barangan bernilai hampir RM1 juta dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada Disember 2021.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 35; Mohd Fahmee Mohamad Nor, 43; dan Azwan Asli, 40.
“Mahkamah mendapati pendakwaan gagal memenuhi elemen penting dalam pertuduhan mengikut undang-undang.
Ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” kata beliau ketika membacakan keputusan.
Mahkamah turut mengambil kira keterangan mangsa yang menyatakan ketiga-tiga tertuduh datang ke rumahnya atas kapasiti rasmi bagi menjalankan siasatan pengubahan wang haram.
"Mangsa mengaku tidak merasa takut dan tidak diugut secara fizikal atau bersenjata.
Dakwaan kononnya salah seorang membawa senjata api juga tidak dapat dibuktikan sepanjang perbicaraan," jelas hakim.
Ketiga-tiga tertuduh sebelum ini didakwa merompak RM952,690, 1,225 Yuan, sebuah bagasi perak dan beg tangan berjenama pada 10 Disember 2021 sekitar pukul 12 tengah hari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Haffiz dan Fahmee diwakili Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, manakala Azwan oleh Azizzul Shariman Mat Yusoff.
Sepanjang perbicaraan yang bermula November 2024, seramai 17 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Tan Sri Dzulkifli ketika ditemui media berkata, elemen utama rompakan gagal dibuktikan sejak awal.
“Ketiga-tiga mereka hadir ke lokasi atas urusan siasatan rasmi SPRM. Laporan polis yang dibuat pengadu adalah cubaan menggagalkan siasatan tersebut.
Keadilan akhirnya ditegakkan. Kami bersyukur mereka dibebaskan,” ujarnya.