fb fb fb fb fb

Pemantauan berterusan di lokasi panas luar biasa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SUBANG, 4 Ogos - Pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap lokasi yang mencatatkan suhu panas luar biasa. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara lokasi berkenaan ialah Bandar Baharu (Kedah), Selama (Perak), Temerloh (Pahang), Limbang (Sarawak) serta Tenom dan Pitas (Sabah).

Lokasi tersebut akan dipantau kerana merekodkan suhu sangat panas selama tiga hari berturut-turut setakat 3 Ogos.

Pihaknya akan turut menilai keperluan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan. 

"Kepanasan yang agak luar biasa ini bermaksud daripada 35 darjah Celsius hingga mencapai 37 darjah Celsius dan kita akan memantau melalui MetMalaysia dan TUDM, jika kawasan-kawasan berkenaan memerlukan pembenihan awan.

"Tetapi yang lebih penting ialah kawasan-kawasan empangan atau tadahan air untuk keperluan domestik serta keperluan industri dan pertanian," katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Subang selepas Operasi Pembenihan Awan di Empangan Bukit Merah, Perak. 

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, terdapat 3,300 telaga tiub disediakan sebagai persediaan menghadapi kebakaran terutama di kawasan tanah gambut susulan cuaca panas ketika ini. 

MASNIZA AWANG KECHIK