KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Malaysia mencatat sejarah dengan pelancaran Waqf Go Learning, platform pendidikan digital pertama berasaskan wakaf, hasil inisiatif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang menyifatkan langkah tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta satu transformasi wakaf dalam pendidikan negara.
"Kita mengajak syarikat-syarikat untuk memberi tajaan supaya lebih ramai anak-anak daripada kategori B40, khususnya ibu bapa mereka menerima zakat atau asnaf penerima zakat, dapat dibantu untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
Dengan kehadiran Encik Buntan, seorang bukan Islam, yang berwakaf, maka sepatutnya ia lebih menggalakkan umat Islam sendiri untuk turut berwakaf. Sudah tentu, rakan-rakan bukan Islam yang lain juga boleh mencontohi Encik Buntan untuk berwakaf, kerana hasil daripada wakaf yang beliau lakukan ini manfaatnya disalurkan kepada golongan miskin," kata Datuk Dr. Mohd Na'im, hari ini.
Platform itu dibangunkan khusus untuk membantu pelajar asnaf dan golongan B40 mendapatkan akses kepada pembelajaran berkualiti secara percuma.
Ia menawarkan lebih 3,000 video pendidikan serta ciri pintar seperti papan pemuka pembelajaran dan sistem pemantauan ibu bapa.
Ketua Pegawai Eksekutif (YWM), Dr. Ridzwan Bakar pula menegaskan bahawa Waqf Go Learning bukan sekadar platform digital, malah merupakan instrumen mampan bagi membangunkan modal insan negara.
Seramai 1,000 pelajar terawal dari Darjah 4 hingga Tingkatan 5 ditawarkan akses percuma mulai hari ini.