SHAH ALAM, 4 Ogos- Selangor menafikan wujud sebarang 'pilih kasih' atau perbezaan layanan dalam penetapan harga siling bagi pembinaan dan pembaikian rumah yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, April lalu.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penetapan harga siling tersebut dibuat berdasarkan kategori kerosakan rumah dan bukannya berdasarkan lokasi.
"Di Putra Heights, memang terdapat beberapa kategori rumah yang terjejas. Ada yang mengalami kerosakan penuh sehingga RM300,000, ada juga yang hanya memerlukan pembaikan kecil sekitar RM60,000 serta antara kedua-duanya itu perlu melalui proses tertentu.
Namun, tiada bezanya dari segi ketetapan. Contohnya, jika rumah itu hanya mengalami kerosakan kecil sekali pun, silingnya tetap ditetapkan pada RM60,000. Jadi mungkin tanggapan liar yang timbul itu tidak tepat," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri Selangor di Shah Alam, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri akan menyemak semula perkembangan kemajuan projek pembinaan dan pembaikan rumah yang sedang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Setakat ini, kemajuan kerja berada pada tahap 22 hingga 24 peratus seperti dinyatakan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, baru-baru ini.
Datuk Seri Amirudin turut memberi jaminan, bantuan bayaran sewa rumah sementara kepada mangsa akan diteruskan sehingga tempoh enam bulan dan semakan lanjut akan dibuat dalam mesyuarat bersama Exco Perumahan, Jumaat ini.